Thursday, September 24, 2015

Tips ambil gambar untuk buat iklan

Gambar buruk, siapa nak beli?

Saya dapati ramai di antara peniaga yang menjual secara online mengabaikan kualiti gambar yang dipaparkan.

Tahukah anda bahawa gambar yang baik mampu untuk meningkatkan jualan sebanyak 300%? Di Mudah.my, people do judge a book by its cover.

Kebanyakan kategori iklan di Mudah.my hanya hadkan 3 gambar untuk dipaparkan. Kalau 3 keping gambar ini FAIL, jangan mimpi pelanggan nak hubungi kita.

Banyak lagi iklan lain yang dia boleh tengok. Jadi di sini saya kongsikan sedikit bagaimana untuk mendapatkan gambar yang mampu untuk menjual dengan sendiri.

1. Sudut Berbeza

Kita tangkap gambar produk yang mahu dijual daripada sudut yang berbeza-beza.

Sebagai contoh, jika kita menjual baju, amat penting untuk kita tangkap gambar hadapan, belakang dan sisi baju. Ini adalah sudut yang pelanggan akan nilai semasa membeli baju.

Jika kita menyewakan rumah, tangkap gambar setiap ruangan di rumah kita seperti laman, ruang tamu, dapur, bilik tidur, tandas dan sebagainya.

Dengan ini mereka yang sedang mencari rumah untuk disewa, mudah untuk membuat penilaian samaada rumah itu sesuai untuk mereka ataupun tidak.

2. Cahaya

Ada 2 kesalahan yang sering dilakukan. Pertama, cahaya kurang. Pastikan cahaya mencukupi supaya setiap sudut gambar produk dapat dilihat dengan jelas.

Letakkan produk yang mahu diambil gambar itu di bawah cahaya lampu. Jangan sekadar bergantung kepada cahaya lampu flash.

Ke dua, cahaya terlebih. Kita juga kena pastikan cahaya tidak terlebih sehingga membuatkan produk yang ditangkap gambar itu kelihatan terlalu berkilau atau sehingga putih.

Berhati-hati juga dengan penggunaan lampu flash. Sering saya dapati pantulan lampu flash termasuk di dalam gambar yang ditangkap.

Kita harus kreatif mencari sudut bagi menangkap gambar produk tanpa memantulkan kembali cahaya lampu flash.

Masalah ini selalu timbul untuk produk yang berpermukaan licin dan berkilat seperti iPad, telefon bimbit, gelas dan lain-lain.

Ini amat mencacatkan gambar produk yang seharusnya menunjukkan warna sebenar produk tersebut. Jika perlu, gunakan sahaja cahaya semulajadi matahari ketika siang.

3. Pegang Produk

Jangan pegang produk yang kita mahu tangkap gambarnya dengan tangan! Ini kelihatan sangat tidak profesional. Peniaga yang menjual barang terpakai banyak melakukan kesilapan ini.

Tangan kiri memegang telefon bimbit dan tangan kanan menangkap gambar telefon bimbit tersebut. Secara tidak langsung ini menggambarkan bahawa produk yang kita jual tidak diberikan penjagaan rapi.

4. Penunjuk Saiz

Kadang-kala pelanggan menghadapi kesukaran untuk mengagak saiz sesuatu produk yang kita jual. Apatah lagi jika produk tersebut baru di pasaran.

Mungkin kita boleh memberi kenyataan di iklan saiz produk tersebut. Namun gambar yang jelas tetap menjadi pilihan pembeli.

Ada 2 cara untuk menyelesaikan isu ini. Pertama, kita boleh meletakkan pembaris disebelah produk yang anda jual. Contoh, anda letakkan pembaris di sebelah Power Bank yang kita mahu tangkap gambarnya.

Ke dua, kita letakkan satu produk yang sudah dikenali saiznya secara umum. Contoh, kita letakkan tin minuman Coca-cola disebelah telefon bimbit yang kita mahu tangkap gambarnya.

Dengan ini pelanggan mampu untuk mengetahui saiz produk tersebut dengan hanya melihat gambar yang diberikan.

5. Latarbelakang

Pernahkah anda melihat peniaga yang menayangkan gambar baju yang beliau jual dengan berlatarbelakangkan almari bajunya? Saya pernah. Siap ada poster artis pujaan beliau lagi yang ditampal pada pintu almari tersebut.

Begitu juga dengan peniaga tudung. Ada yang sekadar meletakkan tudungnya di atas lantai untuk ditangkap gambar.

Apabila saya melihat gambar seperti ini, saya akan menganggap peniaga itu bukan seorang yang serius berbisnes. Hanya berbisnes online secara suka-suka. Saya takut untuk berikan wang kepada peniaga begini.

Kita juga harus memastikan bahawa warna latarbelakang dengan produk yang mahu ditangkap gambarnya berbeza.

Contoh, kita mahu menangkap gambar iPhone yang berwarna hitam. Latarbelakang gambar mesti berwarna cerah seperti putih. Dengan ini mata pelanggan boleh terfokus terhadap produk.

6. Perisian Gambar

Kita boleh menggunakan perisian gambar seperti Photoshop, Corel Draw, Paint dan sebagainya untuk memperbaiki gambar yang telah ditangkap. Antara elemen yang boleh kita perbaiki ialah kecerahan, kontras, saiz dan lain-lain.

Ingin saya tegaskan di sini, kita tidak boleh menggunakan perisian gambar bagi menyembunyikan kecacatan produk yang kita jual.

Sebagai contoh, kita menjual jam tangan yang telah tercalar cerminnya. Kita gunakan Photoshop untuk memadam kesan calar itu pada gambar yang telah ditangkap.

Perbuatan ini sebenarnya telah menipu pembeli. Sebarang kecacatan pada produk mesti ditunjukkan kepada pembeli dengan jujur.

7. Watermark

Sesetengah peniaga online cenderung untuk meletakkan watermark pada gambar produk ataupun servis mereka. Tujuannya supaya gambar tersebut tidak disalahgunakan atau dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab

Namun di Mudah.my, kita tidak dibenarkan untuk meletakkan sebarang watermark di gambar. Ini adalah kerana Mudah.my sendiri akan meletakkan watermark mereka pada gambar tersebut. Jika kita tetap letak, iklan anda akan ditendang begitu saja.

Ada banyak lagi tip gambar yang menjual dengan sendiri di dalam video Pro Mudah.my. Kalau anda berminat nak tahu, kluk promudah.my

Umar Taib