Thursday, December 18, 2025

Cukai dan Kesan Terhadap Peniaga Besar dan Kecil

1. Baru baru ini saya tengok klip YB Rafizi Ramli. Beliau cerita tentang peniaga kecil dan sederhana di Malaysia yang rasa sangat tertekan dengan cara cukai dikutip.
E invois, SST naik, LHDN makin agresif. Atas kertas kerajaan bangga umum kutipan cukai tertinggi dalam sejarah. Di bawah, ramai peniaga rasa sedang diperah. Seronok dengar ulasan YB Rafizi, banyak perspektif menarik. 
2. Cumanya dalam posting YB Rafizi, hanya mention peniaga Cina. Di sini saya mula tertanya, Melayu tidak tertekan juga kah?

Sebab bila buka TikTok dan Shopee, beribu akaun seller Melayu. Mereka jual makanan, fesyen, kosmetik, servis. Mereka pun peniaga, mereka pun bayar cukai, mereka pun rasa sempit bila kos naik dan polisi bertukar.

3. Untuk faham isu ini, saya rujuk semula data rasmi tentang pemilikan bisnes di Malaysia supaya tidak bergantung pada persepsi semata mata.

4. Data SSM dan dokumen kerajaan tunjuk lebih kurang 1,000,000 syarikat berdaftar di Malaysia.

Daripada jumlah ini sekitar 283,000 syarikat milik Bumiputera. Ini lebih kurang 28%. Maksudnya lebih 70% syarikat dimiliki bukan Bumiputera.

5. Untuk SME, data tunjuk sekitar 37% SME dimiliki Bumiputera. Daripada SME Bumiputera ini, lebih 90% berada dalam kategori perusahaan mikro. ‘MIKRO’ ya tuan cikpuan. Majoriti kat situ ja. 

Kebanyakannya bisnes kecil, B2C, banyak bergantung kepada platform online. Ya, satu lagi kita banyak kat online. Online platform tu pun bukan kita punya. Kedai premis fizikal pun melayu sewa ja. Ini kategori peniaga biasa, bukan korporat gergasi.

6. Di peringkat ekuiti dan KDNK, jurang lebih jelas. Pegangan ekuiti Bumiputera sekitar 18%, sasaran kerajaan 30%.

Sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK sekitar 8%, sasaran lebih kurang 15%.
Pada masa yang sama, penduduk Bumiputera hampir 70% daripada rakyat Malaysia.

7. Bahasa mudah, dari segi bilangan, usahawan Bumiputera memang makin ramai. Dari segi saiz, aset dan pengaruh ekonomi, Bumiputera masih jauh di belakang bukan Bumiputera. Inilah realiti struktur yang jarang dijelaskan bila kita bergaduh di ruang komen.

8. Sebab realiti inilah wujud agenda Bumiputera yang berterusan. Dana, geran, program Mara, skim vendor, pelan PuTERA dan pelbagai inisiatif lain.

Kita boleh persoal keberkesanan, integriti, ketelusan dan ketirisan, tetapi asasnya jelas
data tunjuk Bumiputera ketinggalan dari segi pemilikan syarikat besar, ekuiti, premis komersial dan sumbangan KDNK.

9. Pada masa yang sama, saya faham kemarahan ramai peniaga bukan Bumiputera. Mereka juga kategori SME. Mereka juga bayar cukai tinggi. 

Mereka nampak kroni kaya masih selesa, tetapi peniaga biasa yang kerap kena audit, kena e invois, kena tekanan aliran tunai.

Bila dalam masa yang sama kerajaan banyak bercakap tentang bantuan Bumiputera, mereka rasa seolah olah dilayan kurang adil.

10. Jadi wujud dua naratif yang berjalan serentak;

Naratif pertama, Bumiputera sebagai majoriti penduduk tetapi minoriti dalam pemilikan dan kekuatan ekonomi.

Naratif kedua, peniaga Cina dan bukan Bumiputera yang rasa mereka sedang menjadi sasaran sistem cukai dan polisi baru.

11. Kalau kita hanya nampak satu naratif, kita mudah marah kepada kumpulan lain. Ada yang kata kerajaan terlalu manjakan Bumiputera. Ada yang pula menafikan kepayahan peniaga Cina dan bukan Bumiputera.

12. Dari perspektif saya sebagai orang sales yang buat kerja-kerja besarkan market di Olive House, dah biasa melihat nombor dan realiti lapangan. 
Gambarannya begini, tekanan cukai ke atas peniaga biasa memang real untuk semua kaum. Pada masa yang sama, jurang pemilikan dan kekuatan ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera juga real dan besar.

13. Keberkesanan program kerajaan patut terus dikritik dan diperbaiki. Ketirisan dan kronisme perlu dilawan.

Tetapi menafikan fakta jurang ekonomi Bumiputera ataupun menafikan tekanan ke atas SME bukan Bumiputera, kedua dua sikap itu hanya menambah api perkauman.
14. Tujuan saya tulis naratif ini mudah. Supaya lebih ramai rakyat nampak gambar penuh. Peniaga Cina rasa mereka sedang diperah sistem cukai. Peniaga melayu pun rasa yang sama juga. Tambahan lagi, Usahawan Bumiputera pula masih berjuang untuk naik ke liga lebih tinggi.

15. Andai kita boleh terima kedua-dua realiti ini serentak, kita boleh bergerak kepada soalan yang lebih sihat. 
Bagaimana hendak susun sistem cukai dan bantuan supaya peniaga kecil semua kaum rasa adil? 

Pada masa yang sama, jurang ekonomi Bumiputera semakin rapat, bukan semakin melebar.

16. Malaysia akan lebih harmoni bila setiap komuniti rasa ada ruang untuk bernafas dan membina masa depan. Bukan bila satu komuniti rasa tertindas dan komuniti lain rasa sentiasa dipersalahkan

No comments:

Post a Comment